Warisan Perubatan Melayu berkembang dan diamalkan secara meluas di kalangan masyarakat Melayu. Perubatan tradisional Melayu termasuklah kaedah rawatan, penyembuhan, pencegahan pelbagai penyakit dan khasiat tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sekeliling mereka. Dalam masyarakat Melayu-Islam, pengamalan ruqyah (jampi) adalah lebih kepada pencegahan dan rawatan penyakit serta sebagai pendinding diri daripada gangguan makhluk halus iaitu jin dan syaitan. Al-Qur’an ada menyebut tentang kewujudan makhluk halus seperti syaitan (syayatin), jin (jinnah) dan iblis. Terdapat 216 ayat di dalam al-Qur’an yang menyebut kewujudan makhlus halus antaranya di dalam surah Al - Baqarah ayat 14, 23, 24, 34, 36, 102, 168, 169, 208, 256, 257, 268 dan 275. Di antara ruqyah (jampi) yang sering menjadi amalan di kalangan masyarakat Melayu-Muslim bagi menghindari gangguan syaitan dan jin adalah Ayatul Kursi di mana ayat ini sering diamalkan sebelum tidur bagi menghindari gangguan syaitan dan jin semasa tidur. Surah al-Fatihah juga merupakan salah satu ruqyah (jampi) yang sering diamalkan bagi mengubati pelbagai jenis penyakit dan sebagai penerang hati. Begitu juga dengan surah Yaasin, Basmallah, Surah al-Nas, Surah al-Falaq, al-Ikhlas serta zikir dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W yang mana diamalkan bagi tujuan yang sama iaitu perawatan ke atas penyakit dan pelindung daripada gangguan jin dan syaitan.